Dalam post yang lalu, saya ada beritahu yang saya adalah salah seorang yang terperangkap di puncak bukit antarabangsa. Beginilah pengalaman saya.

Hari #1 – 6 Disember 08

Saya terbangun dari tidur dalam 4 pagi. Terasa panas. Saya ingatkan elektrik tiada macam biasa. Saya tengok rumah-rumah jiran pun bergelap. Jadi saya switch on suis kat papan litar. takde respon. Bergelap lah saya.

Sekejap lepas tu kedengaran helikopter melintas di atas kawasan perumahan saya. Masih ingat takde apa2. Melintas lagi helikopter. Saya dah syak ada perkara yang tak kena ni. Sekejap lepas tu. kedengaran sayup-sayup, polis mengarahkan pemilik rumah di kawasan perumahan wangsa height untuk keluar rumah.

Masih lagi saya tak tahu apa-apa sehinggalah bisnes partner saya telefon yang dia tak boleh ke rumah saya sebab ditahan polis. Ada tanah runtuh katanya. Jadi saya pun keluar dari rumah dan pergi ke tempat kejadian iaitu jalan utama Bukit Antarabangsa. Masyaallah, tanah runtuh. Ada sebuah rumah betul-betul berada di atas jalan utama itu. Rumah-rumah lain bertaburan dibawa tanah ke kawasan Taman Bukit Mewah.

Inilah keajaiban Tuhan. Dalam masa tak sampai 30 minit, 14 buah rumah hancur musnah. Berpuluh-puluh kenderaan mewah hancur berkecai.

Kebanyakan pasukan penyelamat hanya bertumpu pada di sebelah bawah jalan utama tempat mulanya tanah runtuh. Padahal, kami yang terperangkap di sebelah atas jalan utama ini belum dihiraukan. Elektrik takde, Air pun takde.

Dalam pukul 12 tengahari lebih kurang, laluan keluar sementara melalui Kondominium Impian Selatan dan Taman Bukit Mewah sudah boleh dilalui. Jadi, saya dan isteri meredah jalan tersebut untuk ke pasaraya Giant yang berada di sebelah satu lagi untuk membeli keperluan harian. Kami tahu kami akan tersekat untuk beberapa hari di kawasan runtuh tersebut untuk beberapa hari. Kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1 km untuk ke Giant tersebut. Perjalanan balik membawa barang-barang yang dibeli pun sejauh 1 km.

Terimakasih kepada para Askar, Polis, MPAJ, Rela, Persatuan Bulan Sabit Merah, Jab. Kebajikan Masyarakat, NGO dan lain-lain yang telah membantu kelancaran perjalanan tersebut. Begitu juga dalam membantu mereka-mereka yang terperangkap disebalik runtuhan tersebut.

Saya difahamkan, di bahagian sebelah runtuhan pihak berkuasa seperti polis, tentera, persatuan bulan sabit merah bertungkus lumus untuk memberi bantuan. Malah, kawasan Bukit Antarabangsa dalam sekelip mata menerima kunjungan ribuan ‘tetamu’ untuk menyaksikan apa yang berlaku sehinggakan menyukarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

Laluan sementara di denai disebelah sub-station TNB Taman Bukit Utama, juga sudah dibuka. Dalam keadaan cemas, panik dan kelam kabut itu, ramai yang mula meredah denai, mendaki bukit dan melalui laluan di celah-celah hutan, sambil membawa beg serta mengendong si kecil, semuanya tidak dipedulikan. Asalkan dapat keluar ke jalan utama, dimana ahli-ahli keluarga menunggu untuk membawa mangsa-mangsa ke kawasan selamat.

Dalam pukul 3 ptg gitu, bekalan air telah pulih sediakala. Alhamdulillah. Boleh lah mandi dan memasak seperti biasa. Tetapi, masih bergelap lagi. Kasihan pada jiran-jiran yang sejalan saya yang baru mengubahsuai rumah mereka dan kejadian ini berlaku akan menurunkan ‘value’ rumah mereka. Jiran sebelah rumah saya akan mengadakan kenduri anaknya yang pertama hujung bulan ini. Tak tertanya saya macam mana persiapan beliau.

Dalam pukul 6 ptg, bantuan makanan malam tiba melalui helicopter Bomba yang turun di kawasan permainan Taman Bukit Utama. Kepada mereka yang mempunyai masalah makanan dapat mengambilnya disitu. Tak silap bekalan makanan tersebut disediakan oleh Palang Merah dan Jabatan Kesihatan Masyarakat yang berpengkalan di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.

Bekalan makanan ringan, pampers, lilin, sabun mandi, sabun basuh, dll boleh didapati percuma di Kondominum Kyoto Garden.

Pada waktu malam kami masih bergelap. Tidur pun kerapkali terjaga.

Kasihan pada anak ketiga saya yang harijadinya jatuh pada hari Sabtu, 6 Disember ini.

Bersambung … untuk pengalaman hari kedua kejadian