Masa makin cepat berlalu. Pejam celik, pejam celik, hari ini adalah hari terakhir dalam tahun Islam 1429 Hijrah. Esok adalah kedatangan tahun Islam 1430 Hijrah.

Macam mana dengan kita semua? Apakah terdapat sebarang perubahan atau peningkatan yang telah kita buat sepanjang tahun. Kalau sudah ada peningkatan, alhamdulillah. Kalau takde lagi, inilah masanya untuk kita muhasabah diri. Imbas kembali apa yang terjadi pada diri kita sepanjang tahun ini.. Tentunya ia mempunyai seribu satu kenangan, sama ada pahit atau manis. Mungkin banyak keuntungan dari kerugian. Mungkin banyak kebaikan yang kita lakukan berbanding keburukan., dari segi keduniaan, mahupun akhirat.

Tuliskan dalam diari ataupun buku catatan harian supaya kita tidak lupa. Tuliskan juga apakah matlamat untuk tahun 1430 Hijrah ini. Yang baik kita tingkatkan lagi, yang buruk, kita kurangkan. Buatlah sebagai pedoman untuk kita melalui hari-hari seterusnya.

Bagi saya, tahun ini banyak memberikan perubahan, disegi perniagaan, kesihatan dan ibadah. Alhamdulillah, perniagaan saya makin berkembang. Ada 2 perniagaan baru yang saya terokai, iaitu penulisan e-buku dan perkhidmatan penghantaran barangan.

Di segi kesihatan ada terdapat beberapa penyakit timbul. Dimana sebelum ini takde. Mungkin umur dah meningkat ini, penyakit makin menghampiri. Alhamdulillah, ianya dapat disekat dan diubati sebelum menjadi serius.

Di segi ibadah pula, saya dapat memulakan amalan sembahyang-sembahyang sunat, seperti Tahajjud dan Dhuha. Dulu memang payah untuk melakukannya. Insyaallah, dengan melaksanakan ibadah ini, rezeki semakin bertambah. Insyaallah, pada tahun 1430 Hijrah ini, saya akan dapat melakukannya dengan lebih regular.

Di segi ilmu pula, saya berjaya menghabiskan beberapa buah buku dan menghadiri workshop untuk menambah pengetahuan dan self-development.

Antara matlamat saya untuk tahun 1430 Hijrah ini adalah jangan membazirkan masa berharga dengan sia-sia. Sehari terbuang, bermakna membuang masa, umur serta peluang yang berharga.

Saya mendoakan agar kita semua akan bekerja dan bekerja dengan lebih kuat dan melakukan lebih banyak amal ibadat pada tahun 1430 Hijrah ini.

Doa Akhir Tahun (dibaca sebelum waktu Maghrib. Dalam pukul 7 malam)

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala Pujian bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku banyak melakukan larangan Engkau, tetapi aku belum bertaubat, sedangkan Engkau tidak reda dan melupakan perkara itu. Engkau menangguhkan azab Engkau yang sudah ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan aku supaya bertaubat daripada kesalahan itu.

Sesungguhnya pada hari ini, aku bertaubat dengan setulus hati dan memohon keampunan daripada Engkau. Ampunilah aku. Apa aku lakukan pada tahun ini Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohon daripada Engkau, ya Allah, ya Karim, ya Zaljala liwal ikram, terimalah permohonan ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku, wahai Tuhan Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian sahabatnya. Segala Puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian Alam.”

Jumpa lagi.