Hari Ahad – 7 Disember 2008 adalah hari kedua kejadian. Esok, umat Islam akan menyambut Hariraya Aidiladha. Sepatutnya saya sudah berada di kampung untuk meraikannya. Tetapi, apakan daya. Saya terpaksa menghadapi musibah ini.

Sejak malam tadi, saya asyik terjaga. Tak boleh tidur kerana masih dalam keadaan berjaga-jaga.Lepas Subuh, dapat mesej memberitahu untuk mengambil sarapan pagi di kawasan permainan Taman Bukit Utama dalam pukul 7.30 pagi. Bila sampai disana, belum ada makanan sampai. Maka kami yang ada disana berbincang apa yang nak dilakukan lagi.

Dalam pukul 10.30 pg, makanan masih belum sampai. Tiba-tiba kami didatangi oleh Ketua Polis Negara, Timbalan KPN dan Ketua Polis Selangor. Perbincangan pun diadakan, dimana kami diberitahu tentang perancangan pihak penyelamat, especially pihak polis. Kami juga memberikan feedback apa yang telah terjadi, memandangkan disebelah kami yang terperangkap, tidak ramai anggota penyelamat yang ada, food supplies pun belum tiba dan pelbagai cadangan lagi.

Setelah mereka pergi, barulah ramai anggota penyelamat yang tiba, seperti Rela, Polis, Askar, Palang Merah, dll. Baru kami merasa lega. Tetapi, bekalan elektrik masih belum ada.

Pukul 11.30 pg, makanan pagi masih belum tiba. Kami diminta membantu seorang penduduk yang baru mengalami pembedahan tulang belakang dan masih mempunyai 7 sekeru di bahagian belakang beliau, untuk turun dari tingkat 5, apartment Sinaran Ukay. Pihak keluarga beliau ingin menghantar beliau ke hospital menggunakan perkhidmatan helikopter. Maka kami pun segera ke apartment beliau. Selesai sahaja kami membawa beliau ke tingkat bawah, ada kereta menunggu untuk membawa ke tempat pendaratan helikopter untuk di hantar ke hospital.

Akhirnya, pada pukul 12.30 barulah makanan pagi sampai. Alhamdulillah.

Pada pukul 2.00 ptg, makanan tengahari pun tiba. By this time sudah ramai pesakit-pesakit, orang-orang tua, wanita mengandung telah dihantar oleh helikopter ke tempat yang selamat. By this time juga ada 3 jalan keluar yang telah disediakan oleh pihak penyelamat dan NGO. Pasukan penyelamat cukup sibuk menenangkan individu yang berpenyakit kronik dan wanita hamil, sementara menunggu helikopter pihak polis, bomba, PLUS dan askar. Warga tua yang tidak sihat dan lumpuh yang menghuni di kondominium, diusung turun oleh pihak penyelamat dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah, untuk diterbangkan.

Helikopter penyelamat bersilih ganti mendarat mengambil individu yang kurang upaya dan menghantar bekalan makanan buat penduduk. Di padang yang sama, persatuan penduduk TBU membuka pusat bantuan. Di sanalah, saya dan residen yang tinggal mendapatkan bekalan makanan, perkhidmatan doktor dan ubat-ubatan, membuat laporan dan memperoleh maklumat terkini.

Ramai sudah meninggalkan kediaman masing-masing kerana esok adalah Hariraya Aidiladha. Ramai yang pindah sementara ke rumah-rumah saudara dan sahabat masing-masing sementara menunggukan ketibaan elektrik dan jalan yang lebih sempurna.

Ramai yang selama ini tidak mengenali sesama sendiri yang berlainan taman, telahpun menambahkan kenalan masing-masing.Setelah seharian berada di Bukit Utama, saya kembali kerumah. Mulalah berbincang dengan keluarga saya samada untuk beraya di tempat kejadian ini ataupun keluar ke rumah abang ipar saya. Memandangkan terlampau ramai kawan dan keluarga lain mahukan kami keluar dari kawasan tragedi ini, maka kami buat keputusan untuk keluar sementara menunggu kawasan kami disahkan selamat.

Dalam malam gelap gelita, menempuh kawasan kemalangan, menempuh anak sungai, mengendong anak bongsu yang masih kecil, akhirnya kami berjaya keluar ke kawasan selamat. Dan dari situ kami dibawa oleh sahabat yang sanggup menghantar kami sehingga ke Shah Alam, iaitu rumah abang isteri saya. Terimakasih, Shah!!

Sahabat-sahabat saya yang terperangkap sama, semuanya telah keluar dari kawasan kemalangan dengan selamat sambil menantikan kawasan kami disahkan selamat oleh kerajaan.

Untuk berpindah selama-lamanya mungkin tidak, sebab disinilah kehidupan kami sejak 12 tahun yang lepas. Rumah ini adalah milik kami dan anak-anak pun sudah sesuai berada di sini.

Alhamdulillah, pada hari Jumaat lepas, kawasan kami disahkan selamat dan kami kembali kerumah setelah 2 minggu meninggalkannya.