December 2008


Masa makin cepat berlalu. Pejam celik, pejam celik, hari ini adalah hari terakhir dalam tahun Islam 1429 Hijrah. Esok adalah kedatangan tahun Islam 1430 Hijrah.

Macam mana dengan kita semua? Apakah terdapat sebarang perubahan atau peningkatan yang telah kita buat sepanjang tahun. Kalau sudah ada peningkatan, alhamdulillah. Kalau takde lagi, inilah masanya untuk kita muhasabah diri. Imbas kembali apa yang terjadi pada diri kita sepanjang tahun ini.. Tentunya ia mempunyai seribu satu kenangan, sama ada pahit atau manis. Mungkin banyak keuntungan dari kerugian. Mungkin banyak kebaikan yang kita lakukan berbanding keburukan., dari segi keduniaan, mahupun akhirat.

Tuliskan dalam diari ataupun buku catatan harian supaya kita tidak lupa. Tuliskan juga apakah matlamat untuk tahun 1430 Hijrah ini. Yang baik kita tingkatkan lagi, yang buruk, kita kurangkan. Buatlah sebagai pedoman untuk kita melalui hari-hari seterusnya.

Bagi saya, tahun ini banyak memberikan perubahan, disegi perniagaan, kesihatan dan ibadah. Alhamdulillah, perniagaan saya makin berkembang. Ada 2 perniagaan baru yang saya terokai, iaitu penulisan e-buku dan perkhidmatan penghantaran barangan.

Di segi kesihatan ada terdapat beberapa penyakit timbul. Dimana sebelum ini takde. Mungkin umur dah meningkat ini, penyakit makin menghampiri. Alhamdulillah, ianya dapat disekat dan diubati sebelum menjadi serius.

Di segi ibadah pula, saya dapat memulakan amalan sembahyang-sembahyang sunat, seperti Tahajjud dan Dhuha. Dulu memang payah untuk melakukannya. Insyaallah, dengan melaksanakan ibadah ini, rezeki semakin bertambah. Insyaallah, pada tahun 1430 Hijrah ini, saya akan dapat melakukannya dengan lebih regular.

Di segi ilmu pula, saya berjaya menghabiskan beberapa buah buku dan menghadiri workshop untuk menambah pengetahuan dan self-development.

Antara matlamat saya untuk tahun 1430 Hijrah ini adalah jangan membazirkan masa berharga dengan sia-sia. Sehari terbuang, bermakna membuang masa, umur serta peluang yang berharga.

Saya mendoakan agar kita semua akan bekerja dan bekerja dengan lebih kuat dan melakukan lebih banyak amal ibadat pada tahun 1430 Hijrah ini.

Doa Akhir Tahun (dibaca sebelum waktu Maghrib. Dalam pukul 7 malam)

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala Pujian bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku banyak melakukan larangan Engkau, tetapi aku belum bertaubat, sedangkan Engkau tidak reda dan melupakan perkara itu. Engkau menangguhkan azab Engkau yang sudah ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan aku supaya bertaubat daripada kesalahan itu.

Sesungguhnya pada hari ini, aku bertaubat dengan setulus hati dan memohon keampunan daripada Engkau. Ampunilah aku. Apa aku lakukan pada tahun ini Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohon daripada Engkau, ya Allah, ya Karim, ya Zaljala liwal ikram, terimalah permohonan ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku, wahai Tuhan Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian sahabatnya. Segala Puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian Alam.”

Jumpa lagi.

Advertisements

Hari Ahad – 7 Disember 2008 adalah hari kedua kejadian. Esok, umat Islam akan menyambut Hariraya Aidiladha. Sepatutnya saya sudah berada di kampung untuk meraikannya. Tetapi, apakan daya. Saya terpaksa menghadapi musibah ini.

Sejak malam tadi, saya asyik terjaga. Tak boleh tidur kerana masih dalam keadaan berjaga-jaga.Lepas Subuh, dapat mesej memberitahu untuk mengambil sarapan pagi di kawasan permainan Taman Bukit Utama dalam pukul 7.30 pagi. Bila sampai disana, belum ada makanan sampai. Maka kami yang ada disana berbincang apa yang nak dilakukan lagi.

Dalam pukul 10.30 pg, makanan masih belum sampai. Tiba-tiba kami didatangi oleh Ketua Polis Negara, Timbalan KPN dan Ketua Polis Selangor. Perbincangan pun diadakan, dimana kami diberitahu tentang perancangan pihak penyelamat, especially pihak polis. Kami juga memberikan feedback apa yang telah terjadi, memandangkan disebelah kami yang terperangkap, tidak ramai anggota penyelamat yang ada, food supplies pun belum tiba dan pelbagai cadangan lagi.

Setelah mereka pergi, barulah ramai anggota penyelamat yang tiba, seperti Rela, Polis, Askar, Palang Merah, dll. Baru kami merasa lega. Tetapi, bekalan elektrik masih belum ada.

Pukul 11.30 pg, makanan pagi masih belum tiba. Kami diminta membantu seorang penduduk yang baru mengalami pembedahan tulang belakang dan masih mempunyai 7 sekeru di bahagian belakang beliau, untuk turun dari tingkat 5, apartment Sinaran Ukay. Pihak keluarga beliau ingin menghantar beliau ke hospital menggunakan perkhidmatan helikopter. Maka kami pun segera ke apartment beliau. Selesai sahaja kami membawa beliau ke tingkat bawah, ada kereta menunggu untuk membawa ke tempat pendaratan helikopter untuk di hantar ke hospital.

Akhirnya, pada pukul 12.30 barulah makanan pagi sampai. Alhamdulillah.

Pada pukul 2.00 ptg, makanan tengahari pun tiba. By this time sudah ramai pesakit-pesakit, orang-orang tua, wanita mengandung telah dihantar oleh helikopter ke tempat yang selamat. By this time juga ada 3 jalan keluar yang telah disediakan oleh pihak penyelamat dan NGO. Pasukan penyelamat cukup sibuk menenangkan individu yang berpenyakit kronik dan wanita hamil, sementara menunggu helikopter pihak polis, bomba, PLUS dan askar. Warga tua yang tidak sihat dan lumpuh yang menghuni di kondominium, diusung turun oleh pihak penyelamat dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah, untuk diterbangkan.

Helikopter penyelamat bersilih ganti mendarat mengambil individu yang kurang upaya dan menghantar bekalan makanan buat penduduk. Di padang yang sama, persatuan penduduk TBU membuka pusat bantuan. Di sanalah, saya dan residen yang tinggal mendapatkan bekalan makanan, perkhidmatan doktor dan ubat-ubatan, membuat laporan dan memperoleh maklumat terkini.

Ramai sudah meninggalkan kediaman masing-masing kerana esok adalah Hariraya Aidiladha. Ramai yang pindah sementara ke rumah-rumah saudara dan sahabat masing-masing sementara menunggukan ketibaan elektrik dan jalan yang lebih sempurna.

Ramai yang selama ini tidak mengenali sesama sendiri yang berlainan taman, telahpun menambahkan kenalan masing-masing.Setelah seharian berada di Bukit Utama, saya kembali kerumah. Mulalah berbincang dengan keluarga saya samada untuk beraya di tempat kejadian ini ataupun keluar ke rumah abang ipar saya. Memandangkan terlampau ramai kawan dan keluarga lain mahukan kami keluar dari kawasan tragedi ini, maka kami buat keputusan untuk keluar sementara menunggu kawasan kami disahkan selamat.

Dalam malam gelap gelita, menempuh kawasan kemalangan, menempuh anak sungai, mengendong anak bongsu yang masih kecil, akhirnya kami berjaya keluar ke kawasan selamat. Dan dari situ kami dibawa oleh sahabat yang sanggup menghantar kami sehingga ke Shah Alam, iaitu rumah abang isteri saya. Terimakasih, Shah!!

Sahabat-sahabat saya yang terperangkap sama, semuanya telah keluar dari kawasan kemalangan dengan selamat sambil menantikan kawasan kami disahkan selamat oleh kerajaan.

Untuk berpindah selama-lamanya mungkin tidak, sebab disinilah kehidupan kami sejak 12 tahun yang lepas. Rumah ini adalah milik kami dan anak-anak pun sudah sesuai berada di sini.

Alhamdulillah, pada hari Jumaat lepas, kawasan kami disahkan selamat dan kami kembali kerumah setelah 2 minggu meninggalkannya.

Dalam post yang lalu, saya ada beritahu yang saya adalah salah seorang yang terperangkap di puncak bukit antarabangsa. Beginilah pengalaman saya.

Hari #1 – 6 Disember 08

Saya terbangun dari tidur dalam 4 pagi. Terasa panas. Saya ingatkan elektrik tiada macam biasa. Saya tengok rumah-rumah jiran pun bergelap. Jadi saya switch on suis kat papan litar. takde respon. Bergelap lah saya.

Sekejap lepas tu kedengaran helikopter melintas di atas kawasan perumahan saya. Masih ingat takde apa2. Melintas lagi helikopter. Saya dah syak ada perkara yang tak kena ni. Sekejap lepas tu. kedengaran sayup-sayup, polis mengarahkan pemilik rumah di kawasan perumahan wangsa height untuk keluar rumah.

Masih lagi saya tak tahu apa-apa sehinggalah bisnes partner saya telefon yang dia tak boleh ke rumah saya sebab ditahan polis. Ada tanah runtuh katanya. Jadi saya pun keluar dari rumah dan pergi ke tempat kejadian iaitu jalan utama Bukit Antarabangsa. Masyaallah, tanah runtuh. Ada sebuah rumah betul-betul berada di atas jalan utama itu. Rumah-rumah lain bertaburan dibawa tanah ke kawasan Taman Bukit Mewah.

Inilah keajaiban Tuhan. Dalam masa tak sampai 30 minit, 14 buah rumah hancur musnah. Berpuluh-puluh kenderaan mewah hancur berkecai.

Kebanyakan pasukan penyelamat hanya bertumpu pada di sebelah bawah jalan utama tempat mulanya tanah runtuh. Padahal, kami yang terperangkap di sebelah atas jalan utama ini belum dihiraukan. Elektrik takde, Air pun takde.

Dalam pukul 12 tengahari lebih kurang, laluan keluar sementara melalui Kondominium Impian Selatan dan Taman Bukit Mewah sudah boleh dilalui. Jadi, saya dan isteri meredah jalan tersebut untuk ke pasaraya Giant yang berada di sebelah satu lagi untuk membeli keperluan harian. Kami tahu kami akan tersekat untuk beberapa hari di kawasan runtuh tersebut untuk beberapa hari. Kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1 km untuk ke Giant tersebut. Perjalanan balik membawa barang-barang yang dibeli pun sejauh 1 km.

Terimakasih kepada para Askar, Polis, MPAJ, Rela, Persatuan Bulan Sabit Merah, Jab. Kebajikan Masyarakat, NGO dan lain-lain yang telah membantu kelancaran perjalanan tersebut. Begitu juga dalam membantu mereka-mereka yang terperangkap disebalik runtuhan tersebut.

Saya difahamkan, di bahagian sebelah runtuhan pihak berkuasa seperti polis, tentera, persatuan bulan sabit merah bertungkus lumus untuk memberi bantuan. Malah, kawasan Bukit Antarabangsa dalam sekelip mata menerima kunjungan ribuan ‘tetamu’ untuk menyaksikan apa yang berlaku sehinggakan menyukarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

Laluan sementara di denai disebelah sub-station TNB Taman Bukit Utama, juga sudah dibuka. Dalam keadaan cemas, panik dan kelam kabut itu, ramai yang mula meredah denai, mendaki bukit dan melalui laluan di celah-celah hutan, sambil membawa beg serta mengendong si kecil, semuanya tidak dipedulikan. Asalkan dapat keluar ke jalan utama, dimana ahli-ahli keluarga menunggu untuk membawa mangsa-mangsa ke kawasan selamat.

Dalam pukul 3 ptg gitu, bekalan air telah pulih sediakala. Alhamdulillah. Boleh lah mandi dan memasak seperti biasa. Tetapi, masih bergelap lagi. Kasihan pada jiran-jiran yang sejalan saya yang baru mengubahsuai rumah mereka dan kejadian ini berlaku akan menurunkan ‘value’ rumah mereka. Jiran sebelah rumah saya akan mengadakan kenduri anaknya yang pertama hujung bulan ini. Tak tertanya saya macam mana persiapan beliau.

Dalam pukul 6 ptg, bantuan makanan malam tiba melalui helicopter Bomba yang turun di kawasan permainan Taman Bukit Utama. Kepada mereka yang mempunyai masalah makanan dapat mengambilnya disitu. Tak silap bekalan makanan tersebut disediakan oleh Palang Merah dan Jabatan Kesihatan Masyarakat yang berpengkalan di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.

Bekalan makanan ringan, pampers, lilin, sabun mandi, sabun basuh, dll boleh didapati percuma di Kondominum Kyoto Garden.

Pada waktu malam kami masih bergelap. Tidur pun kerapkali terjaga.

Kasihan pada anak ketiga saya yang harijadinya jatuh pada hari Sabtu, 6 Disember ini.

Bersambung … untuk pengalaman hari kedua kejadian

Impian dan matlamat kehidupan adalah antara perkara yang wajib ada dalam kamus kehidupan kita. Tak kira dimana kita berada, ianya perlu untuk kita meneruskan kehidupan didalam dunia yang penuh cabaran dan rintangan ini.. Jika anda memilikinya, insyaallah anda akan mendapat kejayaan dan kecemerlangan hidup yang anda impikan.. Bukan saja kerana saya pernah dalam situasi yang hampir-hampir diisytiharkan bankrap, tetapi ianya dapat membina kekuatan dan kematangan untuk bangun semula dari situasi kepayahan.

Allah swt amat penyayang. Dia mengurniakan saya impian, saya tetapkan matlamat dan terus bergerak ke depan. Yang ada pada waktu itu hanyalah impian semata. Memang susah nak membina keyakinan. Tetapi, kena konsisten dan tidak mengalah.

Di saat kejatuhan saya pada waktu itu impian saya cuma satu iaitu mendapat pendapatan dari pelbagai sumber untuk perbelanjaan tahunan. Pelbagai benda yang saya buat. Alhamdulillah, apa yang saya impikan menjadi kenyataan.

Memiliki impian dan matlamat ini adalah PERCUMA. Tak perlu buat apa-apa bayaran pun. Kita perlu tahu apa yang kita nak. Kita bina perancangan untuk mendapatkannya. Kita lakukan perancangan tersebut. Setiap sebulan atau 3 bulan, kita buat analisa dan penilaiannya. Kemudian kita buat penambahbaikan. Insyaallah apa yang kita sasarkan akan tercapai.

Artikel seterusnya, saya akan kongsikan matalamat yang saya sasarkan untuk tahun 2009.

Sekiranya anda masih ingin membaca blog saya, sila pergi ke blog utama saya di http://www.metafizik4.com

Jika ingin membaca pengalaman saya semasa kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa minggu lepas, sila ke sana

Tkasih

Salam semua.

Terimakasih kerana setia bersama-sama saya setiap hari di sini. Maaf juga kerana sudah lama tak menulis di blog ini. Ini disebabkan oleh tragedi yang menimpa kediaman saya di Bukit Antarabangsa pada 6hb Disember yang lepas. Walaupun bukan rumah saya yang musnah, tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang amat berharga dalam kehidupan saya.

Insyaallah, Blog ini akan diupdate 2 atau 3 kali seminggu. Tetapi jangan risau. Anda boleh berterusan meminta analisa percuma, kerjaya yang sesuai, dll menerusi emel saya di mytarikhlahir@yahoo.com. Anda juga masih boleh sms saya. Insyaallah, saya akan membalas emel-emel anda.

Terimakasih semua.

Next Page »